PERUTUSAN TNC PENYELIDIKAN & INOVASI

YBrs. Prof. Madya Dr. Norahida binti Mohamed
( Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi )
Penyelidikan dan Inovasi merupakan agenda penting mampu meningkatkan martabat sistem pendidikan sesebuah universiti. Penyelidikan dalam dunia akademik bertujuan mencari kebenaran ilmu, membina kepakaran dan kesarjanaan dalam bidang ilmu terfokus. Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) walaupun telah bertapak dalam dunia pendidikan sejak 21 tahun yang lalu, universiti ini masih boleh dianggap baru untuk mengorak langkah dalam bidang penyelidikan. Walau bagaimanapun agenda penyelidikan dan inovasi dianggap sama penting sepertimana agenda akademik yang lain di universiti ini.
UNIQSAAS bertekad untuk menerapkan budaya penyelidikan dalam kalangan ahli akademik. Salah satu keunikan yang ada di UNIQSAAS adalah bidang tujahan yang memfokuskan pada bidang pengajian Islam khususnya berkaitan Jawi, Hadis dan Dakwah. Bidang lain yang juga menjadi fokus penyelidikan ialah bidang sains sosial dan teknologi maklumat.
Bagi merealisasikan agenda penting ini, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi telah melaksanakan penstrukturan semula bagi memastikan pengurusan projek penyelidikan dapat dijalankan dengan lebih sistematik. Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) yang turut berperanan dalam menyemak dan menggubal polisi dan garis panduan penyelidikan, membantu penyelidik dalam meningkatkan keupayaan penyelidikan, mendapatkan dana penyelidikan serta mengurus dana tersebut secara cekap dan berkesan.
Bermula pada tahun 2023, Penerbit UNIQSAAS yang sebelum ini diletakkan di bawah RMC, juga mempunyai organisasi khusus yang akan menguruskan bahan-bahan yang diterbitkan di UNIQSAAS. Beberapa inisiatif telah ditetapkan termasuklah untuk memastikan Penerbit UNIQSAAS dapat didaftarkan di bawah Majlis Penerbitan Buku Ilmiah (MAPIM) pada masa akan datang.
Pusat-pusat penyelidikan turut ditubuhkan di UNIQSAAS dan diletakkan di bawah pengawasan Bahagian Penyelidikan dan Inovasi. Pusat-pusat tersebut ialah Institut Jawi, Akademi Hadis dan Institut Dakwah Islamiah Antarabangsa. Pusat-pusat ini berperanan memberikan perkhidmatan berkaitan ejaan Jawi serta menganjurkan program bagi menyebar luaskan ilmu hadis dan aktiviti dakwah dalam masyarakat.
Bahagian Penyelidikan dan Inovasi di UNIQSAAS mengharapkan kejayaan dalam mencapai KPI yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UNIQSAAS. Pelan strategik ini akan digunapakai sebagai rujukan dalam usaha kearah mencapai kecemerlangan penyelidikan.

