SELANGOR, 17 November 2026 – Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Universiti Islam Selangor (UIS) bagi mendapatkan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan penyelidikan universiti.
Delegasi UNIQSAAS diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norahida binti Mohamed, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, bersama Dr. Nur Yani binti Che Hussin, Pengarah RMC. Turut serta ialah Puan Che Nur Afiqah binti Mohamed (Timb. Pengarah Penyelidikan & Geran), Encik Mohd Yusrizal bin Mohd Yunus (Timb. Pengarah Pentadbiran & Kewangan), Cik Farah Syuhada Roslan (Ketua Unit Inovasi), Encik Muhammad Alif Syafiq bin Mohamed Ismail (Peg. Kewangan) serta Cik Alya Maisarah Mohd Al Yusari (Pembantu tadbir).
Delegasi UNIQSAAS telah disambut oleh Dr. Latifa Bibi binti Musafar Hameed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri) UIS, bersama Prof. Madya Dr. Faradillah Iqmar binti Omar, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) UIS serta pasukan pengurusan RIMC.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu pengurusan data Malaysia Research Assessment (MyRA) serta pengurusan geran dan penyelidik. Sesi perkongsian merangkumi kaedah pengumpulan, penyelarasan, pengesahan dan pemantauan data MyRA, di samping proses pengurusan geran, pemantauan kemajuan projek penyelidikan serta mekanisme sokongan kepada penyelidik.
Melalui sesi perbincangan dua hala, RMC UNIQSAAS berpeluang meneliti pendekatan dan amalan pengurusan yang dilaksanakan oleh RIMC UIS sebagai penanda aras dalam memperkukuh kecekapan operasi, tadbir urus penyelidikan dan pencapaian indikator penyelidikan universiti.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan UIS, khususnya RIMC, atas kesudian menerima kunjungan dan berkongsi pengalaman serta kepakaran. Semoga lawatan ini menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam pengurusan penyelidikan UNIQSAAS, di samping membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi pada masa hadapan.







